Thursday, September 16, 2010

Memborong Di Guangzhao Bersama LV Travels & Tours


Keinginan yang kuat untuk berniaga sudah lama ada dalam diri ini. Tak mengapalah bermula secara kecil-kecilan dulu. Apabila terbaca Pakej Pemborong China ke Guangzhao di dada suratkhabar yang ditawarkan oleh LV Travel & Tours Sdn Bhd (LVTT), kesempatan ini tak mahu dilepaskan. Tambahan pula, harga pakej yang ditawarkan menarik dan berpatutan. Kemesraan pegawai-pegawai syarikat LVTT yang sanggup datang sampai ke rumah memberi perkhidmatan memudahkan urusan. Perbincangan yang terperinci dijalankan antara perserta pakej dan LVTT. Maklumlah, pakej ini bukan untuk melancong tapi untuk berniaga. Yang nak pergi ni pun bukan taukeh besar pun. Kenalah jelaskan pada LVTT jenis perniagaan dan barangan apa yang nak dicari. Apatah lagi kebanyakan perserta baru kali pertama ke sana. Gambaran sebenar Guangzhaou sudah tentu amat minimum.


Memilih Barangan Digital Di Shenzhen

Sebelum ke Guangzhao, destinasi pertama ialah ke Bandaraya Shenzhen. Shenzhen lebih dikenali sebagai Bandaraya Digital. Bagi yang berhajat untuk mencari barangan digital, Shenzenlah tempatnya. Kompleks pasaraya borongnya banyak dan besar-besar belaka. Komplek Hua Qiang Bei Wiring City antara destinasi pilihan. Di sini barangan digital dan gajet seperti komputer, kamera, telepon bimbit dan sebagainya amat banyak dan pelbagai. Yang pertama kali datang memang rambang mata dibuatnya. Sehari rasa tak puas untuk meninjau dan memilih barang yang berkenan di hati. Kalau tak memborong, sekurang-kurangnya buah tangan untuk kegunaan sendiri pasti dibawa balik.


Memborong Di Guangzhao

Gedung memborong di Guangzhao memang banyak dan terletak di beberapa lokasi. Walaubagaimana pun, kerja jadi mudah bila barangan yang nak dicari telah dimaklumkan kepada LVTT lebih awal. Sebagai ’home baker’, gedung menjual barangan dan peralatan membuat kek dan coklat destinasi pertama yang dituju. Gedung menjual peralatan kek dan coklat di Guangzhao menjadi tumpuan terutama di kalangan pengusaha khidmat katering, syarikat perhotelan maupun restoran. Berbagai bangsa dari seluruh pelusuk dunia datang memborong barangan di sini. Kualiti barangannya tinggi dan banyak pilihan. Layanan dari para peniaga amat mesra walaupun kadang-kadang bahasa untuk berkomunikasi menimbulkan sedikit masalah. Skil tawar menawar perlu ada untuk memborong di Guangzhao. Peniaga China ni selalunya akan meletakkan harga mula yang amat tinggi. Kena pandai menawar dan buat sedikit ’homework’ berkaitan harga semasa di tanah air.


Selain barangan dan peralatan kek dan coklat, naluri seorang wanita sudah tentu tidak dapat tidak akan ke gedung menjual beg tangan dan tekstil. Antara gedung-gedung yang menjual barangan ini temasuklah : Wang Ning Wholesale Market; Liu Hua Clothes Market; Shang Xia Lu dan banyak lagi.


Makanan Muslim Yang Enak

Bila tiba time makan, tourist guide akan bawa kami ke restoran Islam yang amat sedikit terdapat di Guangzhao. Yalah, penduduk Islam katanya lebihkurang 200,000 orang aje daripada 8 juta penduduknya. Kena beberapa kali pusing bandaraya baru nak jumpa. Restoran yang paling diingati ialah Restoran Abdullah. Mungkin namanya kot. Lauk pauk yang dihidang memang sedap dan banyak. Problemnya, ramai pemborong dalam group kami ni tak tau guna chop stick. Kelam kabut lah pelayan restoran nak cari sudu dan garpu. Mungkin alat ni amat jarang digunakan pelanggan di sini. Pinggan nasi pulak kecil. Tak apelah, janji masing-masing boleh soru dan perut kenyang. Pihak restoran juga ada menyediakan sejadah untuk solat di bilik khas atau ruang-ruang yang bersih dalam restoran. Maklumlah nak cari masjid atau surau cukup susah di Guangzhao.


Menyusuri Sungai Guangzhao

Setelah penat memborong, group kami ditawarkan pakej menyusuri Sungai Guangzhao waktu malam. Dengan menaiki boat besar dua tingkat, pelancong akan dapat menikmati pemandangan Bandaraya Guangzhao yang amat mempesonakan. Sinaran lampu aneka warna dari bangunan-bangunan pencakar langit di tebing sungai menyerikan Sungai Guangzhao. Penyusuran sungai yang mengambil masa hampir sejam dirasakan sekejap. Di dalam boat juga dihidangkan persembahan tarian dan nyanyian untuk tontonan pelancong. Keadaannya sungguh meriah dan menghiburkan

Khidmat Kargo Disediakan

Hari terakhir kami akan melibatkan kerja-kerja pembungkusan barangan yang telah diborong. Kotak dan tape telah disediakan oleh pihak LVTT lebih awal memudahkan kerja. Kotak-kotak yang telah dibungkus rapi akan dihantar ke syarikat kargo untuk penghantaran melalui laut ke tanah air. Syarikat kargo juga menyediakan pembungkusan tambahan yang lebih kukuh demi menjamin keselamatan barangan dengan caj yang murah. Selalunya, jangkamasa penghantaran barangan oleh syarikat kargo hingga ke depan rumah para pemborong akan mengambil masa antara 10 dan 14 hari sahaja.


Potensi Perniagaan Yang Luas

Sambutan pelanggan terhadap barangan dari Guangzhao amat menggalakkan sebaik sahaja dipasarkan di tanah air. Keadaan ini sudah tentu menambahkan keyakinan pada diri ini untuk terus memborong barangan Guangzhao. Dengan pakej perkhidmatan pemborongan oleh LVTT yang efisyen dan memuaskan, sudah tentu akan dapat menarik lebih ramai pemborong tempatan menyertainya. Walaupun, majoriti pemborong menggunakan trip pertama ini sebagai tinjauan awal, namun rata-rata berpendapat potensi dan peluang perniagaan yang ditawarkan di Guangzhao amat luas. Dengan memborong barangan secara terus dari pembekal akan dapat menjimatkan kos dan mengelakkan masalah dan pelbagai kerenah yang ditimbulkan oleh orang tengah. Tambahan pula, ada di antara yang ikut bersama pakej pertama ini telah mempunyai pengalaman berniaga dan memiliki syarikat perniagaan yang sudah ’established’ di tanah air. Tidak kurang juga ada yang berniaga secara kecil-kecilan di pasar-pasar malam. Yang tak pernah berniaga pun ikut sama. Matlamatnya, sudah tentu untuk menghidu peluang perniagaan yang mungkin ada di Guangzhao.



No comments: